SELAMAT DATANG

Saturday, 17 May 2014

SEJARAH TULISAN JAWI

        Tulisan jawi mula berkembang di Tanah Melayu sejak kedatangan Islam pada abad 10 menerusi aktiviti perdagangan Arab yang datang berniaga di kepulauan Melayu. Perkembangan tulisan jawi di Nusantara adalah seiring dengan penyebaran agama Islam yang  menjadi pegangan orang Melayu (Hashim Hj Musa, 1995). Selain menjalankan aktiviti perniagaan, peniaga Arab juga menyebarkan dakwah Islam. Antara kesan penyebaran dakwah Islamiah ialah penggunaan huruf-huruf Arab sebagai medium untuk berkomunikasi di Tanah Melayu (Hamdan Abd Rahman,1999). Tulisan yang diperkenalkan kepada penduduk Nusantara adalah huruf-huruf  Arab atau sekarang ini dikenali dengan nama tulisan Jawi. Pada abad ke sebelas hingga ke empat belas, tulisan jawi digunakan dengan meluas di seluruh Tanah Melayu dan Nusantara (Mohd Alwee Yusoff, 2005). Orang Melayu yang celik huruf pada waktu itu merupakan golongan yang celik jawi.
    
       Berdasarkan sejarah Bahasa Melayu (Kang Yong Seock, 1990) perkataan “Jawi” (جاوي) berasal daripada bahasa Arab “Jawah” ((جاوة. Kemudian, orang Melayu menyelaraskan perkataan-perkataan Arab tersebut agar sesuai digunakan dalam Bahasa Melayu. Berdasarkan catatan Sejarah Melayu (Hashim Hj Musa, 1999) perkataan Jawi adalah diadaptasikan oleh Bahasa Melayu daripada tulisan Arab.  Kemudiannya dibuat beberapa penyelesaian dan tambahan agar kegunaan tulisan ini menjadi mantap sebagai medium asas komunikasi bertulis seperti yang kita fahami sekarang ini. Berdasarkan kata adjektif dalam Bahasa Arab,  perkataan Jawah atau Jawi merujuk kepada semua bangsa dan kaum yang menjadi peribumi di Asia Tenggara malah merangkumi seluruh rumpun bangsa Melayu, Campa, Patani, Aceh, Jawa, Minangkabau, Mandailing, Sunda, Bugis, Banjar, Lombok, Filipina dan negeri-negeri lain (Mohd Alwee Yusoff, 2005).
       
     Oleh sebab itulah, maka para ulama dari Asia Tenggara sering meletakkan nama al-Jawi sebagai gelaran, pada hujung nama mereka sekalipun mereka terdiri daripada suku bangsa berlainan seperti Syeikh Abdul Rauf al-Fansuri al-Jawi, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani al-Jawi, Syeikh Daud al-Fatani al-Jawi dan lain-lain (Ismail Hussein, 1981). Selain itu, kata Jawi digunakan juga untuk ungkapan-ungkapan seperti bahasa Jawi, masuk Jawi dan bangsa Jawi. Sampai kini orang-orang Vietnam menamakan orang di Kepulauan Nusantara sebagai orang Jawa (Amat Juhari Moain, 1996). Istilah “tulisan Jawi” hanya dikenali di Malaysia, Singapura, Thailand Selatan dan Brunei Darussalam dan Sri Lanka (bagi rumpun Melayu). Tulisan jawi di Indonesia terkenal dengan nama “tulisan Melayu Huruf Arab” atau “tulisan Melayu Arab”.


    Penggunaan jawi (atau apa sahaja istilah yang semakna dengannya) digunakan di banyak tempat di Asia Tenggara. Tulisan Jawi bukan hanya digunakan oleh orang Melayu untuk bahasa Melayu tetapi juga oleh suku-suku bangsa Melayu yang lain. Antara suku bangsa Melayu yang menggunakannya ialah Campa di Indo-China, Patani di selatan Thailand, Jawa, Banjar, Bugis, Aceh, Minangkabau, Bengkulu dan juga lain-lain (Lutfi Abas et. al, 1979). Bagi tulisan Jawa yang menggunakan huruf Arab dikenal dengan nama atau tulisan Pegon, yang sekarang ini masih dipakai atau digunakan untuk menulis kitab-kitab terutama yang digunakan di pesantren-pesantren atau pondok-pondok pengajian agama di Jawa. Contohnya ialah kitab Tafsir al-Ibriz dan al-Munjiyat bahasa Jawa (Amat Juhari Moain 1996: 18).

DEFINISI TULISAN JAWI


Tulisan Jawi (توليسن جاوي), juga dipanggil Yawi di Pattani. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tulisan Jawi bermaksud tulisan yang menggunakan huruf Jawi. Manakala huruf Jawi bermaksud huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan yang digunakan untuk menulis dalam bahasa Melayu. Tulisan Jawi merupakan salah satu daripada dua sistem tulisan rasmi di Brunei, dan juga dijadikan sistem tulisan alternatif di Malaysia. Dari segi penggunaannya, tulisan Jawi dahulunya merupakan abjad piawai bahasa Melayu tetapi sudah diganti oleh abjad Rumi, maka penulisan Jawi hanya terhad kepada kegunaan keagamaan dan kebudayaan. Penulisan Jawi seharian dipelihara di kawasan-kawasan yang diduduki masyarakat Melayu yang lebih konservatif, misalnya Sulu di Filipina, Pattani di Thailand, Kelantan di Malaysia  dan beberapa kawasan petempatan Melayu di Indonesia.